5 Perkara Unik Tentang Jepun

5 PERKARA UNIK TENTANG JEPUN

Assalamualaikum

Pertamanya aku ingin mengucapkan terima kasih kepada JBT kerana memilih aku sebagai pemenang tempat ketiga untuk bulan Januari 2015 bagi tajuk Jepun sebagai destinasi pelancongan utama. Alhamdulillah dengan rezeki yang diberikan. Sukanya hati. hehe

Walaupun baru pertama kali ke Jepun pada bulan Oktober tahun lepas, banyak perkara yang menarik dan unik yang aku lihat dan belajar. Sebelum ni aku sudah tulis tentang 7 perkara menarik ada di Jepun yang aku jumpa sepanjang 6 hari aku di sana.

Kalau nak senaraikan tentang uniknya Jepun, aku yakin listnya pasti melebihi seratus lebih. Tambah lagi pada mereka yang tinggal lama di Jepun atau berkali-kali ke negara matahari terbit itu. Tapi untuk entri ini aku senaraikan 5 lagi perkara unik yang aku lihat di Jepun.

1. Uniform

Orang Jepun suka pakai uniform. Dimana-mana saja boleh lihat orang yang memakai sut atau seragam yang sama. Setiap profesion ada uniform masing-masing. Memakai uniform memperlihatkan pekerja sebagai seorang yang profesional sekalipun melakukan kerja peringkat bawahan.

Jika anda peminat drama Jepun, anda pasti boleh lihat perkara ini. Sebagai contoh, semasa menghadiri temuduga kerja mereka pasti memakai sut warna hitam. Satu warna saja iaitu hitam. Tidak kira lelaki atau perempuan.

boku no ita jikan

Boku no ita jikan – Drama Jepun yang dibintangi oleh Haruma Miura dan Mikako Tabe – Scene ditemuduga

Semasa di Jepun aku mengesahkan perkara ini. Pada hari pertama aku sampai di airport, pekerja yang di dalam airport sehingga yang di luar termasuk yang mengangkat beg ke dalam bas, co-pilot pemandu bas dan pemandu bas sendiri semua memakai uniform.

Salaryman

Pada hari kedua di Jepun pula pada waktu pagi aku lihat rata-rata yang keluar bekerja memakai sut bewarna hitam ke pejabat. Mereka ini dipanggil Salaryman. Salaryman bermaksud orang yang pendapatannya diperolehi daripada bekerja di satu-satu syarikat. Makan gaji dalam bahasa mudah. hihi

salaryman

Hampir kesemua yang aku jumpa di stesen keretapi dan di jalan adalah salaryman yang memakai sut bewarna hitam. Kegigihan mereka bekerja boleh dilihat kerana mereka pulang lewat malam. Pukul 10 malam pun masih banyak yang berada di dalam train untuk pulang ke rumah. Orang Jepun adalah orang yang sangat kuat bekerja.

Pelajar Sekolah

 Pelajar pra-sekolah

2014-10-24 15.02.53

Mereka memakai topi yang sama untuk field trip

 Pelayan di dalam keretapi

2014-10-25 09.18.35

Pekerja pembersihan keretapi

Pengawal pembinaan jalan

Jinrikisha – penarik beca

Pemetik Anggur

Pekerja di ladang anggur juga mempunyai uniform mereka tersendiri.

Unikkan.

Tidak kira profesion apa sekalipun pasti mereka bangga dengan uniform yang dipakai. Setiap pekerjaan adalah amanah yang harus dilaksanakan sebaik mungkin.

2. Beradab dan mematuhi peraturan

Orang Jepun terkenal dengan adab dan kesopanan yang tinggi. Perkara seperti menepati masa adalah antara sikap terpuji yang memang umum  ketahui. Ini memang wajib kita contohi.  Semuanya mesti tepat pada masanya. Keretapi di Jepun perjalanannya sentiasa mengikut masa yang ditetapkan. Jarang-jarang sekali berlaku kelewatan. Ini yang mesti kita contohi.

Selain daripada itu yang aku perhatikan di sana adalah mereka begitu mengikut peraturan. Contohnya seperti beratur. Di setiap tempat mesti beratur. Tidak ada potong memotong atau menolak antara satu sama lain.

naik bas sila beratur.

Lampu merah berhenti, hijau baru jalan

Ini memang betul aku respek pada orang Jepun. Semasa di traffic light semua patuh pada lampu. Apabila lampu merah semua akan berhenti. Tidak ada yang curi-curi untuk melintas walaupun tiada kereta.

Shibuyya crossing.

Harajuku

Gambar di bawah semasa hendak pergi makan di Restoran Pokok Pisang. Memang tak ada kereta. Tapi lelaki Jepun dua orang ni tidak melintas pun. Sungguh patuh !

Memang aku tabik hormat sebab aku sendiri kalau di Jalan TAR kadang-kadang berani mati saja lintas. kekeke Malu pada orang Jepun weh. huhu

3. Replika Makanan

Ini memang unik. Replika makanan yang dipanggil Sampuru dalam bahasa Jepun adalah perkataan daripada bahasa Inggeris iaitu Sample. Dulunya dibuat daripada wax tetapi sekarang lebih banyak yang dibuat daripada plastik. Replika makanan ini dibuat seperti makanan asal untuk dijadikan sebagai hiasan atau display yang diletakkan di hadapan kedai makan atau restoran. Ini memudahkan pelanggan untuk melihat contoh makanan yang dijual terutamanya kepada pelancong yang datang ke Jepun. Mereka akan memilih contoh makanan yang terlihat menyelerakan.

Kelihatan seperti sebenar kan. Bagi aku orang Jepun sangat kreatif.

Di bawah pula adalah makanan yang sebenar.

Tendon Set

Boleh lihat proses pembuatan replika makanan ini di Youtube. Sangat menarik !

4. Tandas di Jepun

Aku cukup sensitif bab kebersihan tandas. Aku sangat takut kalau masuk tandas lepas tu terjumpa benda-benda yang boleh menyebabkan aku menjerit. Sebabkan sikap aku ni jadi aku memang memilih untuk pergi tandas atau tidak. Ingat lagi semasa di China aku tidak masuk langsung ke tandas mereka. Banyak sangat cerita yang aku dengar tentang tandas di China. huhu

Tetapi semasa di Jepun aku gembira. Aku sangat yakin dengan tahap kebersihan melampau orang Jepun. Jadi aku tak ada masalah untuk menggunakannya. Sedangkan jalanraya di Jepun cukup bersih hingga boleh buat adegan guling-guling tambah pula tandas yang super bersih aku yakin memang boleh tidur dalam ni dengan selesa. haha

Tandas di Jepun ada 2 jenis. Yang tradisional dan yang moden. Kalau yang  tradisional yang jenis mencangkung. Perhatikan cara yang ditunjukkan supaya dapat mencangkung dengan selesa bersesuaian dengan bentuk tandas.

simple-instructions

how-to-use-a-squat-toilet

Untuk tandas moden pula ialah tandas duduk.  Tapi tandas duduk ini bukan sebarang tandas duduk ye. Yang di Jepun kebanyakkan adalah jenis eletronik. Tandas jenis ini direka untuk keselesaan, privasi dan kebersihan pengguna.

tandas di bangunan Sky Tree Tokyo

Tandas paling super advanced yang aku guna adalah di Lapangan Terbang Haneda. Huyoo ini memang betul-betul teknologi tinggi. Canggih gila. Ruang pun besar. Bestnya bila masuk.

Terdapat lebih kurang 20 fungsi yang terdapat pada tandas elektronik. Antaranya ialah bidet, kawal suhu air, pewangi udara, heated seats, massage cleaning dan lain-lain fungsi lagi. Tidak lupa juga fungsi noisemaker. Tujuannya ialah untuk meningkatkan tahap privasi anda semasa menggunakan toilet supaya tidak kedengaran bunyi-bunyi yang tidak sepatutnya. Jangan terkejut jika anda masuk ke toilet dan terdengar bunyi lagu tradisional. Bolehlah berurusan tanpa rasa malu-malu. haha

Tetapi harus diingat secanggih mana pun toilet di Jepun paip air memang tidak ada. Jadi bagi kita yang Islam dan perlu basuh dengan air silalah bawa botol kosong. Ambil air di sinki dan gunalah sebaiknya. InsyaAllah boleh 🙂

Selamat mencuba tandas di Jepun ya !

5. Islam di Jepun

Islam in Japan

Agama Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi negara Jepun. Daripada 128 juta penduduk Jepun,10% adalah beragama Islam. Perkembangan Islam berlaku dengan cepat di negara ini. Uniknya di Jepun ialah polisi kerajaan tidak melarang sebarang kegiatan keagamaan selagi tidak menjurus kepada keganasan dan kemudaratan kepada penduduknya.

Sejarah Islam di Jepun mencatatkan kedatangan Islam bermula ketika abad ke-14 apabila Jeneral Lan Yu (Dinasti Ming) yang beragama Islam mempunyai hubungan dengan seorang pembuat pedang di Jepun. Jeneral Yu dikatakan memiliki 10,000 pedang Samurai Jepun.  Tapi catatan sejarah paling lengkap ialah kehadiran seorang pendakwah berbangsa Arab yang mengikuti kapal Portugis dari Melaka pada 1555. Beliau dikatakan mengislamkan ramai penduduk Jepun.

Islam dapat berkembang dengan cepat melalui beberapa faktor. Antaranya ialah ramai penduduk Jepun yang memeluk agama Islam selepas tinggal di negara Islam dan apabila mereka kembali ke Jepun, mereka melakukan kerja dakwah pula. Selain itu kemasukan ramai pendatang dari Turki dan Rusia juga menyemarakkan perkembangan Islam di Jepun. Pada tahun 1938, 600 pelarian Turki datang ke Jepun dan menetap di beberapa wilayah lalu membentuk komuniti Islam. Ramai penduduk Jepun belajar dan memeluk Islam melalui pelarian tersebut.

Kemasukan ramai pekerja asing terutama dari Indonesia, Malaysia dan Timur Tengah juga memberi kesan kepada perkembangan Islam. Pada hari ini, sempena Jepun menjadi tuan rumah sukan Olimpik pada tahun 2020, kerajaan Jepun mahu menarik lebih ramai pelancong Islam datang  ke sini. Justeru itu pelbagai kemudahan disediakan kepada pelancong Islam seperti tempat bersolat, makanan halal dan info mengenai kiblat.

Jangan hairan jika anda terjumpa surau di lapangan terbang Jepun. Mereka telah menyediakan bilik yang besar lengkap dengan tempat berwuduk untuk pelancong Islam.

Beberapa pasaraya besar di Tokyo turut menyediakan kemudahan solat dan tempat wuduk untuk pelanggan beragama Islam. Antaranya ialah pusat membeli-belah Shinjuku Takashimaya dan pasar raya AEON. Hotel springs Makuhari di Chiba turut menyediakan makanan halal.

Pork-and-Alcohol-Free-Menus

Masjid di Jepun

Antara masjid yang terkenal di Jepun adalah Masjid Kobe dan Masjid Tokyo. Semasa di Tokyo aku sempat pergi ke Masjid Tokyo atau nama lainnya ialah Tokyo Camii. Camii itu adalah perkataan Turki. Masjid ini dibina atas sumbangan kerajaan Turki. Justeru itu binaannya terlihat mirip dengan Masjid Biru di Istanbul.

Orang Jepun yang berminat dengan Islam

Aku gembira melihat begitu ramai orang bukan Islam yang datang mendengar ceramah tentang Islam di masjid ini. Mereka begitu berminat mendengar dan melihat orang solat. Aku merasakan negara bukan Islam yang begitu baik hati dan mesra untuk menerima agama Islam adalah negara Jepun.

Tokyo Camii diselubungi salji pada musim sejuk

Kita doakan supaya lebih ramai yang memeluk Islam dan dapat melihat keindahan agama Islam yang sebenar. Bak kata Professor Atsushi Kamal Okuda seorang saintis muslim Jepun, akhlak yang mulia ada di Jepun tetapi tidak lengkap. Maka Islamlah yang melengkapkannya. Semoga Allah memberkati usaha Prof Kamal dan rakan-rakan pendakwah yang lain yang gigih menyebarkan Islam di Jepun.

Dari kanan : Sheikh Saeed Sato, Prof. Dr. Atsushi Kamal Okuda,Sheikh Ahmad Maeno (Abu Hakeem)

Jika ingin mengikuti info-info tentang Islam di Jepun anda boleh ikut Facebook page Islam In Japan dan Halal Media Japan. Semoga mendapat panduan apabila berkunjung ke sana nanti.

Kesimpulan

Banyak lagi perkara unik dan menarik yang kita dapat perolehi daripada budaya Jepun dan penduduknya. Bagi pendapat aku , inilah 5 perkara unik tentang Jepun. Aku berharap di masa hadapan aku dapat merasai lagi keunikan negara Jepun dan penduduknya. Apa yang baik kita ambil dan praktiskan. Semoga yang belum ke Jepun akan sampai ke sana juga satu hari nanti. Pergilah ke negara matahari terbit itu. Sekali datang pasti mahu ke sana lagi !

ima

 

Penaja Utama :  Japan Budget Trip

Penaja Bulanan/Saguhati

  1. Travelog.my
  2. Azeni Ahmad
  3. Hawwa Firdaus
  4. Sitizan
  5. eXplorasa
  6. Travel And Foods Blog
  7. Kisahtatie

Hadiah Utama:  1 Package ke Jepun bersama JBT

Hadiah Bulanan

  1. Tempat pertama : Hadiah saguhati bernilai RM200
  2. Tempat kedua : Hadiah saguhati bernilai RM150
  3. Tempat ketiga : Hadiah saguhati bernilai RM100
  4. Tempat keempat : Hadiah saguhati bernilai RM50
  5. Tempat kelima : Hadiah saguhati bernilai RM30

 

 

This entry was posted in Japan.

Leave a Reply